Monday, September 28, 2009

Ucapan Penagguhan pada 23/06/2008 di Parlimen. JUNE/2008

Sistem Infra Untuk Mengatasi Masalah Banjir

Tuan M. Kula Segaran [Ipoh Barat]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Perlunya sistem infra untuk mengatasi masalah banjir. Masalah ini adalah berkenaan dengan perlunya sistem infra yang baru untuk mengatasi masalah banjir sehingga terdedahnya manusia kepada bahaya banjir khasnya di kawasan bandar-bandar besar yang mempunyai taburan penduduk yang padat serta kadar binaan yang tinggi telah meningkat dengan begitu pesat dalam tahun tahun
kebelakangan ini. Hal ini terbukti oleh kejadian-kejadian banjir yang serius di sekitar bandar Ipoh khususnya di Taman Merdeka, Taman Hock Onn, Taman Alkaf dan di kawasansepanjang Sungai Kinta, Ipoh.

Punca utama banjir di kawasan ini adalah disebabkan aliran permukaan pesat akibat perubahan guna tanah, alur-alur sungai dan longkang yang tersekat yang menyebabkan berkurangan keupayaan sungai melalui pemindahan kelodaknya. Pada masa yang sama pihak kerajaan harus peka dalam menangani masalah banjir di kawasan Ipoh khususnya di Taman Merdeka dan di kawasan sekitarnya. Jika turunnya hujan lebat ataupun hujan tidak berhentihenti
maka ia mengambil masa yang begitu singkat sahaja untuk menenggelamkan Taman Merdeka dan kawasan sekitarnya. Dengan adanya sistem perparitan yang tidak sempurna, maka ia menyebabkan begitu ramai mangsa mengalami kerugian yang besar dan kanak-kanak juga menjadi mangsa dengan penyakit.

Rakyat kini lebih berpendidikan dan lebih sedar akan masalah alam sekitar dan juga mendapat maklumat semasa dengan lebih kerap. Mereka lebih yakin bahawa kejadian banjir ini adalah disebabkan kesilapan manusia dan kegagalan pengurusannya boleh dielakkan jika
adanya satu perancangan yang awal daripada pihak kerajaan. Maka dengan itu timbulnya beberapa soalan dalam hal di mana apakah tindakan yang telah pun dirancang oleh pihak JPS dalam menangani masalah ini. Apakah sistem perparitan yang sempurna akan dilaksanakan
pada kawasan-kawasan yang disebut dan bilakah ianya akan diimplementasikan.

Selain daripada itu, berapakah peruntukan yang telah pun diperuntukkan bagi mengatasi masalah banjir di kawasan-kawasan ini dan sehingga hari ini berapakah yang telah dibelanjakan. Dalam satu perancangan pembangunan bandar raya, masalah banjir sepatutnya dijadikan
agenda utama. Perkara ini tidak boleh lagi dipandang ringan, ditolak dan diketepikan. Ia sudah menjadi lumrah di Taman Merdeka, hujan lebat yang turun sekejap pun boleh menenggelamkan taman ini dan juga kawasan yang rendah sehingga boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas. Masalah banjir di kawasan Taman Merdeka dan sekitarnya bukannya satu fenomena yang baru dan adanya bukti-bukti yang kukuh di mana perlunya satu rancangan yang baru untuk membantu penduduk-penduduk kawasan ini.

Pihak JPS dan kerajaan masih tidak mencari satu jalan penyelesaian walaupun sudah lalu 40 tahun. Justeru itu, dengan adanya suasana ekonomi yang baik pada tahun-tahun kebelakangan ini, maka kerajaan tidak boleh menjadikan masalah ini kurang penting jika dibandingkan dengan pembangunan infra yang lain. Terima kasih.

Jawapan daripada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar [Datuk Douglas Uggah Embas]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua dan makluman Ahli Yang Berhormat, mengikut kajian National Register of River Basin 2003, seluas 9% daripada keluasan tanah negara di Malaysia di kenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir termasuk kawasan-kawasan sungai di Lembah Kinta. Bagi menangani masalah banjir ini, kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran memberi khidmat kepakaran dalam pengurusan tebatan banjir serta melaksanakan program tebatan banjir untuk melindungi nyawa dan harta benda.

Di bawah Rancangan Tebatan Banjir yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran, dua bentuk langkah yang diambil iaitu langkah struktur dan langkah bukan struktur. Antara langkah-langkah struktur termasuklah pembinaan empangan tebatan banjir, pembinaan kolam takungan banjir, pembinaan lencongan, rumah pam, melebarkan dan mendalamkan sungai dan pembinaan ban benteng di tebing sungai. Sementara langkah-langkah bukan struktur adalah kajian-kajian lembangan sungai dan tebatan banjir, kajian pelan induk saliran, maklumat dan data yang diperlukan untuk kajian, penyediaan garis panduan dan manual saliran mesra alam, kempen kesedaran dan program pendidikan, ramalan dan amaran banjir dan pengurusan kawasan tadahan air. Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, di dalam perancangan permohonan bandar raya, kementerian melalui JPS telah memperkenalkan manual saliran mesra alam, MSMA. Manual ini telah pun diedarkan kepada pihak berkuasa tempatan di samping memberi taklimat kepada mereka.

MSMA merupakan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh PBT di dalam meluluskan pelan pembangunan supaya isu banjir dapat ditangani.

Tuan Yang di-Pertua, justeru PBT perlu memainkan peranan dengan menangani isu banjir terutama dalam penyelenggaraan dan penaikan taraf kemudahan-kemudahan perparitan. Di samping itu, PBT juga perlu meningkatkan penguatkuasaan agar semua pihak mematuhi peraturan dan undang-undang berkaitan bagi mengurangkan kesan banjir tempatan. Berhubung isu banjir di Taman Merdeka dan taman-taman perumahan di sekitarnya. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, taman-taman ini terletak di kawasan tanah rendah di sepanjang Sungai Pari, anak Sungai Kinta juga merupakan kawasan yang berisiko banjir.

Di bawah Rancangan Malaysia Kelapan, JPS telah membelanjakan RM58.8 juta untuk melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pari. Bagi meningkatkan keupayaan Sungai Pari untuk mengalirkan air bagi mengurangkan masalah banjir di sepanjang sungai ini.

Skop kerja yang telah dilaksanakan termasuk meninggikan baris Sungai Pari bagi mengelakkan limpahan air sungai, membina semula konkrit seksyen yang telah rosak akibat hakisan air sungai dan menempatkan pam untuk mengepam air dari kawasan banjir di Taman Merdeka ke Sungai Pari. Tuan Yang di-Pertua, seterusnya di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, JPS melaksanakan kerja-kerja RTB Sungai Pari. Skop kerja yang telah dilaksanakan sehingga kini meliputi pembinaan rumah pam termasuk pemasangan pagar keselamatan dan CCTV, pembaikan dan pembinaan semula benteng L-shape sepanjang Sungai Pari serta kerja-kerja mendalam anak-anak sungai kepada Sungai Pari.

Tuan Yang di-Pertua, bagi menyelesaikan masalah tersebut dalam jangka masa panjang, JPS telah melantik juru perunding untuk menyediakan reka bentuk kejuruteraan terperinci bagi cadangan kerja-kerja tebatan banjir di Taman Merdeka dan persekitarannya di sepanjang Sungai Pari.

Tuan Yang di-Pertua, kementerian berharap Majlis Bandar Raya Ipoh juga memainkan peranan yang sewajarnya untuk menangani isu banjir di Taman Merdeka, Taman Hock Han dan ‘Taman Har Kaf’ ke kawasan-kawasan sekitar memandangkan ketiga-tiga taman perumahan ini terletak di bawah kawasan perbandaran MBI. Kerja-kerja penyelenggaraan dan penaik taraf sistem saliran dalaman di kawasan-kawasan tersebut adalah tanggungjawab Majlis Perbandaran Ipoh.

Justeru itu, Ahli Yang Berhormat adalah diminta untuk membangkit isu ini terus kepada Majlis Bandaran Ipoh. Terima kasih.

POSTED BY kula ON 06.24.08 @ 6:46 am |

Comments »
The URI to TrackBack this entry is: http://kula.blogsome.com/2008/06/24/ucapan-penagguhan-pada-230608-di-parlimen/trackback/

No comments yet.

RSS feed for comments on this post.

No comments:

Post a Comment